Thursday, April 28, 2011

Ganja: Dua pegawai kastam ditahan

Ganja: Dua pegawai kastam ditahan
Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperlis@utusan.com.my
KANGAR 28 April - Polis menahan dua pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri ini dan merampas tujuh kilogram ganja mampat di tempat letak lori di kilang simen Bukit Keteri, Padang Besar di sini malam tadi.
Kedua-dua pegawai berusia 42 dan 44 tahun itu ditahan pukul 9.30 malam, dipercayai sedang menunggu pembeli di kawasan tersebut.
Menurut Ketua Polis Perlis, Datuk Tajudin Md. Isa, selepas diserbu, polis menemui dadah tersebut di dalam sebuah kereta Honda Accord milik salah seorang suspek.
"Polis melakukan intipan selama setengah jam sebelum menyerbu kawasan itu dan suspek dipercayai berada di situ untuk menjalankan urus niaga dengan pembeli," kata beliau pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Derma Darah di Mes Pegawai Kanan Polis Kontinjen Perlis di Sungai Batu Pahat di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata beliau, pembeli dadah tersebut tidak datang berurus niaga pada ketika itu.
"Kita yakin ganja tersebut diperoleh dari negara jiran dan setiap ketulan seberat sekilogram mempunyai harga pasaran RM2,500 dan percaya kedua-dua suspek aktif menjalankan aktiviti berkenaan sejak sebulan lalu," katanya.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment