Wednesday, April 27, 2011

Guru cederakan guru besar didenda

Guru cederakan guru besar didenda



--------------------------------------------------------------------------------



ALOR SETAR 27 April - "Guru adalah tugas yang mulia. Kamu seharusnya menunjukkan teladan kepada anak murid dan orang awam. Sepatutnya kamu mengawal kemarahan kamu itu".

Demikian teguran seorang majistret sebelum menjatuhkan hukuman denda maksimum RM2,000 ke atas seorang guru yang didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencederakan guru besar, lima tahun lalu.

Majistret Norazah Idris turut memerintah Norazman Abdul Wahab (gambar), 43, dari Jalan Datuk Kumbar di sini dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Beliau memutuskan demikian setelah mendapati pihak pembelaan yang diwakili oleh peguam G. Ravinsankar gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh.

Norazman disabitkan bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Halim Saad, 52, dengan menumbuk muka dan menyepak pahanya di pejabat Sekolah Kebangsaan Gerigis Jalan Langgar di sini kira-kira pukul 8.30 pagi, 20 Disember 2006.

Dakwaan terhadap guru itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd. Nor mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Dalam keputusannya, Norazah mengetepikan hujahan pihak pembelaan bahawa mangsa cedera akibat terjatuh secara tidak sengaja manakala isu-isu yang ditimbulkan di saat-saat akhir pula disifatkan sebagai difikirkan kemudian.

"Ini termasuk isu bahawa mangsa cedera kerana jatuh akibat gelabah kerana menyangka akan dipukul oleh tertuduh. Persoalannya, kenapa isu ini tidak ditimbulkan di awal pendakwaan yang membolehkan mangsa disoal?," katanya.

Sementara itu, sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh memohon dia dikenakan hukuman ringan dengan alasan telah digantung tugas sejak tiga tahun lalu dan menanggung empat anak yang masih belajar termasuk dua orang yang akan meneruskan pengajian di universiti.

Ana Rozana pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal demi kepentingan awam dengan mengambil kira tertuduh merupakan seorang guru.

No comments:

Post a Comment