Wednesday, April 27, 2011

10 keldai dadah ditahan

10 keldai dadah ditahan
KUALA LUMPUR 27 April — Sepuluh rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, New Zealand, semalam selepas didapati cuba menyeludup masuk dadah bernilai NZ$10 juta (RM24 juta).

Akhbar New Zealand Herald melaporkan, dadah jenis methamphetamine itu ditemui disorokkan dalam kasut suspek.

Laporan menyebut, kastam membuat tangkapan itu selepas menahan dua rakyat Malaysia daripada sekumpulan pelancong yang tiba di lapangan terbang tersebut pada tengah hari semalam.

Selepas diperiksa dan disoal siasat, pihak berkuasa mendapati mereka membawa methamphetamine atau ‘P’ dalam kasut masing-masing, sebelum bertindak mengesan kumpulan pelancong terbabit.

“Kesemua mereka didapati membawa antara 800 gram dan sekilogram P dalam kasut masing-masing. Nilai semasa P dianggar NZ$1 juta (RM2.4 juta) sekilogram,” kata akhbar itu.

Lapan lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan awal 20-an dan lewat 60-an itu dijadual dihadapkan ke Mahkamah Daerah Manukau hari ini.

Laporan itu memetik Pengurus Siasatan Dadah Kastam Mark Day sebagai berkata, tangkapan tersebut membabitkan bilangan ‘keldai dadah’ teramai dalam satu operasi di New Zealand.

“Dengan menyertai kumpulan pelancong yang dilihat sebagai sah, penjenayah ini cuba mengikuti corak perjalanan yang biasa dilakukan pelancong agar tidak dianggap sebagai kumpulan berisiko tinggi,” katanya.

Menurut Kementerian Luar Malaysia, sehingga 31 Mac tahun ini seramai 833 daripada 1,880 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara adalah kerana kes dadah. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment