Tuesday, April 26, 2011

Penjenayah buat laporan palsu kena tembak ditahan

Penjenayah buat laporan palsu kena tembak ditahan


2011/04/26
SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki ketika membuat laporan kononnya cedera terkena peluru sesat selepas dia dicam sebagai seorang daripada penjenayah yang lolos sejurus menyerang anggota polis di Kampung Air Kuning, Sungai Rasau di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berumur 26 tahun yang cedera di bahu kiri itu ditahan ketika memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, jam 5.30 petang semalam. Terdahulu pada jam 11.30 pagi, rakan lelaki itu yang berusia 37 tahun ditahan ketika ditemui bersembunyi di dalam longkang di kawasan perumahan Taman Rashna di sini. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, berkata lelaki yang mendakwa terkena peluru sesat dan rakannya sebelum itu cuba ditahan oleh dua anggota polis kerana berkelakuan mencurigakan di Taman Sri Muda di sini, pada jam 6.45 pagi.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua suspek yang menunggang motosikal enggan berhenti sebaliknya cuba menyerang anggota polis dengan parang ketika dikejar di Taman Air Kuning sehingga memaksa anggota polis melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

Katanya, setiba di Taman Rashna di sini, kedua-dua suspek meninggalkan motosikal berhampiran sebuah tugu keris di kawasan itu dan melarikan diri.

"Anggota polis yang membuat pemeriksaan mendapati terdapat kesan darah pada motosikal dan topi keledar yang ditinggalkan kedua-dua suspek sebelum mereka terus menjejak suspek dengan bantuan orang awam.
“Seorang suspek ditemui bersembunyi di dalam longkang di kawasan perumahan di Taman Rashna di sini selepas empat jam kejadian,” katanya ketika sidang media, semalam.

Zahedi berkata, beberapa jam kemudian, pihaknya mendapat maklumat seorang lelaki cedera ditembak membuat laporan terkena peluru sesat di Klang.

Katanya, selepas siasatan lanjut, lelaki itu ditahan kerana dipercayai suspek yang diburu.

Kedua-dua suspek dipercayai penagih dadah dan kini ditahan untuk disoal siasat mengikut Seksyen 307 kerana cubaan membunuh.

No comments:

Post a Comment