Sunday, April 17, 2011

Wanita mati dibunuh 3 penyamun

Wanita mati dibunuh 3 penyamun

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my



ANGGOTA polis mengangkat mayat Norjaniaty Mohamad Isa yang mati dibunuh sekumpulan penyamun di rumahnya di Kampung Keladi, Kulim, Kedah, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KULIM 17 April - Seorang wanita yang pulang bercuti untuk menziarah ibunya maut dipukul tiga penyamun yang memecah masuk rumah banglo mereka di Kampung Keladi di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, ibu mangsa yang berusia 70 tahun turut cedera.

Mangsa, Norjaniaty Mohamad Isa, 40, dikatakan baru pulang dari Kuala Lumpur, petang semalam.

Ketika kejadian, dia tidur bersama ibunya, Fatimah Abu Bakar di dalam sebuah bilik manakala dua lagi ahli keluarga di bilik lain.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) negeri, Supritendan Law Thiang Huat berkata, polis yang mendapat panggilan mengenai kejadian itu bergegas ke rumah terbabit untuk menjalankan siasatan.

"Hasil pemeriksaan kita menemui mayat mangsa terlentang di atas katil dengan kecederaan di muka akibat dipukul dengan senjata tumpul," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Thiang Huat memberitahu, berdasarkan keterangan ahli keluarga mangsa, sekumpulan tiga lelaki telah memecah masuk rumah berkenaan melalui sebuah pintu jeriji di bahagian tepi.

"Norjaniaty dipercayai bergelut dengan kumpulan lelaki terbabit tetapi tidak terdaya melawan. Ibunya turut cedera akibat dipukul dan kini dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati beberapa barang kemas di dalam bilik berkenaan serta telefon bimbit dan sejumlah wang tunai, hilang.

"Polis percaya motif kejadian adalah samun," katanya sambil menambah mayat mangsa dihantar ke HK untuk dibedah siasat.

Thiang Huat meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di talian 04-4906222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment