Tuesday, April 26, 2011

Cermin tingkap sekolah pecah akibat tembakan

Cermin tingkap sekolah pecah akibat tembakan
26/04/2011 10:31pm


KUALA LUMPUR 26 April - Polis kini menyiasat satu insiden cermin tingkap di tingkat tiga bangunan sebuah sekolah di Ampang, Selangor yang ditemui pecah berderai dipercayai akibat tembakan.

Ketua Polis Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata kesimpulan itu berikutan penemuan serpihan peluru di situ.

Kejadian dipercayai berlaku pada Ahad, namun hanya disedari hari ini apabila guru sekolah terbabit dimaklumkan pelajar cermin tingkap yang terletak bersebelahan tangga itu pecah selain ada kesan berlubang di tangga tersebut, katanya kepada pemberita, di sini.

Amiruddin berkata guru itu kemudian membuat laporan dan pasukan polis yang dihantar ke sekolah tersebut mengesahkan ada kesan tembakan sebelum menemui serpihan peluru.

"Anak (serpihan) peluru ini akan diuji oleh bahagian forensik bagi mengetahui kegunaan peluru serta jenis pistol yang diguna. Keputusan akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya.

Amiruddin berkata polis juga percaya tembakan dilepaskan dalam jarak lebih 50 meter dari bangunan sekolah setinggi empat tingkat itu dan tidak menolak kemungkinan ia dilepaskan dari sebuah kondominium yang terletak bersebelahan sekolah.

Polis juga katanya, tidak menolak unsur jenayah dalam insiden itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment