Sunday, April 17, 2011

Lelaki dikurung gagal bayar pinjaman RM3,000

Lelaki dikurung gagal bayar pinjaman RM3,000
KOTA KINABALU 17 April - Perbuatan melampau sebuah premis peminjam wang berlesen menagih hutang dengan mengurung seorang peminjam pada Selasa lalu, membawa padah apabila diserbu polis.

Mangsa, lelaki tempatan berusia 34 tahun dipercayai dikurung bermula pukul 1.11 petang di premis berkenaan di Sinsuran di sini, sebelum diselamatkan pukul 3.55 petang.

Dalam serbuan itu, polis memberkas dua lelaki yang menahan mangsa sebelum menangkap tiga lagi dalam operasi susulan pada 13 dan 14 April lalu dengan kesemua suspek berusia 26 hingga 34 tahun.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, siasatan mendapati mangsa gagal membayar balik pinjaman kepada syarikat itu sebanyak RM3,000.

"Mangsa yang dikurung di dalam sebuah bilik diselamatkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, hasil maklumat awam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua ditahan disiasat mengikut Seksyen 348 Kanun Keseksaan kerana menahan mangsa dengan cara salah yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

"Perbuatan mereka menahan mangsa adalah salah di sisi undang-undang, kalau mereka mahu menagih hutang pun kenalah ikut proses yang sepatutnya dan berlandaskan undang-undang," tegasnya.

Beliau turut menasihatkan semua syarikat peminjam wang agar menjalankan perniagaan dengan cara yang betul dan tidak bertindak melampau.

No comments:

Post a Comment