Graduan tikam kekasih kekal dipenjara
PUTRAJAYA 18 April - Seorang graduan sebuah universiti tempatan kekal dipenjara empat tahun setelah Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuannya atas kesalahan menghalang bayi berusia lapan bulan yang dikandung oleh teman wanitanya daripada dilahirkan dengan cara menikam perut mangsa menggunakan pisau.
Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff sebulat suara menolak rayuan akhirnya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 10 September 2009.
Ekoran keputusan yang turut dicapai oleh Hakim Datuk Ahmad Maarop dan Hakim Datuk Azhar Ma'ah itu, lelaki terbabit yang kini berusia 23 tahun terlepas peluang menghadiri upacara konvokesyennya yang dijadualkan berlangsung beberapa bulan lagi.
Pemuda itu yang ketika kejadian berusia 17 tahun disabitkan atas tuduhan menikam perut gadis sebayanya di antara pukul 12 tengah hari dan 1 petang, 11 September 2005 di sebuah rumah di Kampung Endah, Tanjung Sepat, Banting, Selangor.
Dia yang mengaku bersalah atas tuduhan pilihan diperintah oleh Mahkamah Kanak-Kanak Telok Datok ditahan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun sehingga mencapai usia 21 tahun.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang menjalankan kuasa semakan menggantikan perintah itu dengan hukuman penjara empat tahun.
Pemuda terbabit diwakili oleh peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff manakala Timbalan Pendakwa Raya, Fatnin Yusof mewakili pihak pendakwaan.
Fakta kes menyatakan, pada hari kejadian, pasangan itu melakukan hubungan seks sebelum bertengkar kerana perayu tidak berpuas hati berhubung bayi yang dikandung oleh kekasihnya.
Mangsa mengalami pendarahan yang banyak setelah sebilah pisau berukuran lapan inci tercucuk di perutnya sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Banting.
Tuesday, April 19, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment