Thursday, April 28, 2011

Pemandu lori ke tali gantung

Pemandu lori ke tali gantung
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my
ALOR SETAR 28 April – Setelah hampir dua tahun seorang gadis maut akibat ditikam dan dihentak objek keras oleh teman lelakinya, pemuda itu hari ini menerima pembalasan apabila dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Mohamad Adnan Abdul Rahim, (gambar) 29, dijatuhi hukuman tersebut oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh Norbahiran Ishak, 22.
Mohd. Zaki memutuskan demikian setelah mendapati keterangan bela diri tertuduh yang diwakili peguam bela, K. Padmanathan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mohamad Adnan yang bekerja sebagai pemandu lori dari Simpang Ampat, Pulau Pinang didakwa membunuh Norbahiran di 157 Lorong Perak 2, Taman Perak, Kulim antara pukul 10.30 pagi dan 10.45 pagi, 17 Mei 2009.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shuhada Mohd. Yatim mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Dalam penghakimannya, Mohd. Zaki mengetepikan pembelaan tertuduh bahawa dia tidak berniat untuk membunuh mangsa, berikutan terlalu banyak kecederaan dialami oleh mangsa.
‘‘Selain itu, keterangan tertuduh bahawa dia tidak sengaja melakukan kecederaan ke atas mangsa kerana mempertahankan diri setelah mangsa membangkitkan kemarahannya sebagai tidak berasas.
‘‘Walaupun tertuduh memberitahu bahawa dia tidak berniat membunuh mangsa namun keterangan saksi jelas menunjukkan bahawa dia mempunyai niat untuk mencederakan gadis itu sehingga menyebabkan kematiannya,’’ kata beliau.
Tertuduh yang berkemeja hitam dan berseluar biru kelihatan tenang namun sekali-sekala dilihat menggeleng-geleng kepala ketika mendengar hukuman dijatuhkan.
Pada 18 Mei 2009, akhbar melaporkan seorang gadis maut selepas dipercayai dijerut dan ditikam oleh kenalan lelakinya dalam satu perselisihan faham di sebuah rumah di Taman Perak, Kulim.
Mangsa juga dikatakan dihentak dengan objek keras oleh lelaki tersebut selepas berlaku pergelutan. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik rumah terbabit.

No comments:

Post a Comment