Sunday, April 10, 2011

Ditikam, jerut sebelum dibakar dalam kereta

Ditikam, jerut sebelum dibakar dalam kereta


2011/04/11
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditikam dan dijerut sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam sebuah kereta serta dibakar hingga rentung di Happy Garden, Brickfields di sini, awal pagi semalam.

Mayat mangsa yang rentung 90 peratus itu ditemui di tempat duduk belakang kereta jenama Honda Civic kira-kira jam 3.30 pagi di Jalan Sepadu, Brickfields. Siasatan awal polis mendapati, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibawa ke Happy Garden dan dibakar bersama kereta itu. Bagaimanapun, sehingga lewat petang semalam polis belum mengenal pasti identiti mangsa atau pemilik kereta Honda Civic itu.

Difahamkan, seorang saksi yang berada berhampiran tempat kejadian melihat empat lelaki dengan keadaan mencurigakan dalam sebuah PERODUA Myvi berwarna putih di kawasan itu, sebelum kejadian berkenaan.

Saksi dikatakan ternampak seorang daripada suspek keluar dari PERODUA Myvi itu dan menyimbah sejenis cecair ke atas kereta Honda Civic yang diletakkan di tepi jalan berkenaan sebelum membakarnya.

Saksi itu yang mengesyaki sesuatu kemudian menghubungi polis dan bomba memaklumkan kejadian berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata pihaknya sedang berusaha mengenal pasti identiti mangsa kerana hampir seluruh tubuhnya terbakar.

“Kita sedang menyiasat sama ada mangsa adalah individu yang dilaporkan hilang pada Jumaat lalu di sebuah negeri jiran selain mengenal pasti pemilik kenderaan terbabit,” katanya.

Ku berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan identitinya hanya akan diketahui selepas laporan bedah siasat diperoleh.

Katanya, polis juga masih menyiasat motif kejadian dan sedang memburu empat lelaki yang disyaki terbabit dalam pembunuhan itu, selain percaya mereka masih berada sekitar ibu negara.

No comments:

Post a Comment