Tuesday, April 19, 2011

Sindiket samun guna teksi tumpas

Sindiket samun guna teksi tumpas
PETALING JAYA 18 April – Polis menumpaskan satu sindiket samun kargo muatan barangan elektrik bernilai jutaan ringgit setelah menahan lapan lelaki di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Hutan Melintang, Perak, baru-baru ini.

Kesemua penjenayah yang berusia lingkungan 25 hingga 33 tahun itu ditahan pada 8 April lalu dan dipercayai terlibat dalam lima daripada lapan kes samun kargo yang dilaporkan kepada polis di negeri ini sejak tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, operasi memburu ahli sindiket itu dilakukan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian samun kargo muatan elektrik di Subang Jaya pada 25 Mac lalu.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan dua buah teksi untuk menghalang laluan treler berkenaan sebelum melarikan kenderaan berat tersebut.

“Penjenayah turut menggunakan senjata api untuk menakutkan pemandu dan kelindannya, sebelum mengikat serta meninggalkan mereka di tepi jalan.

“Berikutan penahanan lapan suspek itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM31,000 serta tiga buah teksi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini hari ini.

Tambahnya, turut ditemui, dua buah televisyen skrin paparan cecair kristal (LCD), satu set peralatan teater rumah, dua pucuk pistol tiruan dan lapan unit telefon bimbit.

Katanya, siasatan awal polis mendapati, daripada lima kes yang dilakukan sindiket itu, dua daripadanya berlaku di Jinjang manakala dua lagi di Shah Alam dan satu di Subang Jaya.

Tun Hisan memberitahu, polis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan iaitu G. Elango, 29, beralamat di Balakong, Seri Kembangan dan G. Kesavan, 23, berasal dari Klang.

No comments:

Post a Comment