Tuesday, April 19, 2011

Penganggur digantung, ibu rebah di mahkamah

Penganggur digantung, ibu rebah di mahkamah
SHAH ALAM 18 April - Seorang ibu tua rebah ketika cuba memeluk belakang badan anak lelakinya yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana mengedar 929 gram kanabis.

Anaknya, Mohd. Fais Diram, 28, menoleh seketika ke arah ibunya yang sedang meraung sebelum dipapah keluar oleh ahli keluarga yang lain.

Terdahulu, Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad memutuskan Mohd. Fais bersalah atas tuduhan itu selepas gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Menurut hakim itu, pembelaan Mohd. Fais tidak berasas, berbentuk penafian semata-mata dan merupakan keterangan yang difikirkan semula selepas kejadian.

Tertuduh yang diwakili peguam Mejar (B) Ghazali Nik Taib didakwa melakukan kesalahan itu di sebatang tiang jejantas di bawah Lebuh raya Shapadu, Jalan Kampung Rantau Panjang, Klang pada pukul 2.30 pagi, 24 Disember 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

No comments:

Post a Comment