Wednesday, April 20, 2011

Anggota polis cedera ditikam ketika tangkap penjenayah

Anggota polis cedera ditikam ketika tangkap penjenayah


2011/04/20
SANDAKAN: Seorang anggota polis cedera parah akibat ditikam dengan pisau ketika menangkap seorang lelaki dipercayai penagih dadah di Kampung Sentosa Jaya Batu 3 dekat sini semalam.

Anggota polis berkenaan, Konstabel Muhammad Hida Syaffiq Bin Aziz, 20, terkena tikaman di belakang badan dan punggung ketika bergelut untuk menangkap suspek itu dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong, berkata dalam kejadian itu, seorang lagi anggota polis Lans Koperal Hadi Hassan, 31, turut mengalami luka di tapak tangan kirinya ketika membantu menangkap lelaki berkenaan. "Muhammad Hida yang dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan dilaporkan dalam keadaan stabil, manakala Hadi hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dua anggota polis berkenaan bersama dua lagi anggota lain pergi ke kampung itu selepas menerima maklumat mengenai suspek yang dipercayai terbabit dalam kes ugut di kawasan Batu 3 dan Batu 4.

Katanya, mereka kemudian terserempak dengan dua lelaki di kampung itu yang bertindak melarikan diri selepas mereka memperkenalkan diri anggota polis.

Katanya, Muhammad Hida dan Hadi mengejar salah seorang lelaki, manakala dua lagi anggota polis mengejar seorang lagi lelaki itu.
Rowell berkata, polis berjaya menangkap suspek yang menikam anggota polis itu dan merampas sebilah pisau yang digunakannya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment