Bunuh: Dua beranak dihukum gantung
ALOR SETAR 10 April - Dua beranak yang bekerja sebagai penarik kereta dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh seorang lelaki pada 7 Februari 2003.
Hakim Datuk Zamani A. Rahim menjatuhi hukuman itu ke atas Hashim Arifin, 56, dan Hishamuddin Hashim, 31, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes di luar keraguan munasabah.
Kedua-dua tertuduh yang berkemeja dan berkemeja T kelihatan tenang sebaik sahaja hukuman itu dijatuhkan setelah mereka didapati bersalah membunuh seorang penarik kereta, Mohamad Rafi Che Ani, 37, di Kulim pada tarikh itu.
Zamani dalam penghakiman lisannya menyebut, pada sesi pembelaan terdapat percanggahan fakta saksi mengenai tarikh bertemu dengan tertuduh pertama.
"Seorang saksi memberitahu berjumpa dengan saksi pertama pada 6 Februari tetapi kenyataan kepada polis berjumpa pada 5 Februari. Mahkamah tidak dapat menerima saksi pembelaan ini kerana keterangan bercanggah," katanya.
Menurut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama empat lagi yang masih bebas berhimpun secara haram di hadapan kedai buah Majlis Perbandaran Kulim, Jalan Kulim- Kelang untuk mencapai tujuan bersama menyebabkan kematian ke atas Mohamad Rafi Che Ani kira-kira pukul 12.30 tengah malam 7 Februari 2003.
Kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama yang memperuntukan hukuman sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd. Yatim manakala tertuduh diwakili peguam R.S.N Rayer.
Menurut Rayer, pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian mangsa bersama adiknya menikmati makanan di gerai berkenaan sebelum didatangi sekumpulan lelaki termasuk kedua-dua tertuduh.
Sejurus kemudian berlaku bertengkaran dan pergaduhan antara mangsa serta tertuduh.
Ketika pergaduhan itu ada antara saksi melihat kedua-dua tertuduh menikam anggota badan mangsa dengan objek tajam.
Sunday, April 10, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment