Monday, April 25, 2011

Lapan pelajar mengaku salah

Lapan pelajar mengaku salah

Oleh RADHUAN HUSSAIN
pengarang@utusan.com.my

MARANG 24 April - Lapan pelajar sebuah sekolah menengah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menceroboh dan mencederakan seorang pelajar sekolah menengah agama di daerah ini pada 7 April lalu.

Kesemua pelajar yang berusia antara 15 hingga 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Pendakwaan dilakukan secara tertutup sebelum mahkamah menetapkan 24 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan akhlak pelajar terbabit.

Bagaimanapun, lapan pelajar tersebut dibebaskan dengan ikat jamin RM1,500 setiap seorang bagi dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa melakukan pencerobohan jenayah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling kira-kira pukul 11 pagi hingga 11.30 pagi 7 April lalu di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, pada 7 April lalu kira-kira pukul 11 pagi, mereka didakwa dengan sengaja mencederakan Wan Nur Azri Wan Mohamad, 17, dengan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 yang dibaca bersama Seksyen 34.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum sehingga satu tahun penjara atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, manakala pendakwaan dilakukan Inspektor Mahathir Mohd. Yusof.

Sebelum ini, akhbar melaporkan pelajar Tingkatan Lima di SMKA Durian Guling, Wan Nur Azri didatangi sekumpulan pelajar dari sekolah lain.

Mangsa kemudian dipanggil keluar dari kelas oleh kumpulan terbabit lalu dipukul sehingga cedera di muka.

No comments:

Post a Comment