Sunday, April 10, 2011

Tidak serik!

Tidak serik!
Oleh Azida Shaharuddin

2011/04/11


PEGAWAI Imigresen menyoal siasat wanita warga asing yang ditahan dalam operasi di Johor Bahru.Rumah kedai terbabit kegiatan pelacuran terus aktiviti walaupun pernah diserbu

JOHOR BAHRU: Tidak sampai setahun selepas diserbu kerana menjalankan kegiatan pelacuran, sebuah rumah kedai dekat Jalan Dobi di sini, didapati kembali menjalankan operasi haramnya.

Dalam serbuan terbaru, Khamis lalu, 10 pelacur warga Indonesia yang menunggu pelanggan mereka terkedu apabila ‘pelanggan’ yang datang adalah penguat kuasa Jabatan Imigresen yang melancarkan operasi membanteras kegiatan tidak bermoral itu di rumah berkenaan. Ketika serbuan jam 10.20 malam diketuai Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Johor, Masri Adol, 10 wanita terbabit yang berpakaian seksi, sedang duduk di sofa disyaki menunggu pelanggan. Masri berkata, pemeriksaan di rumah kedai itu mendapati ia dilengkapi dua bilik tidur di tingkat bawah serta empat bilik di tingkat atas. Pelacur dipercayai bergilir menggunakan bilik berkenaan setiap kali melayan pelanggan.

Katanya, pemeriksaan pihaknya mendapati setiap bilik dalam premis itu menyediakan mangkuk dilekatkan pada dinding, berisi kondom belum dipakai, manakala di lantai pula bersepah dengan kondom yang sudah digunakan.

“Kami pernah menyerbu rumah kedai sama tahun lalu, namun didapati beroperasi kembali. Selepas mendapat aduan orang awam, kami melakukan risikan dan mendapati ia kembali beroperasi sejak enam bulan lalu.

“Siasatan juga mendapati kumpulan wanita terbabit dipercayai berulang alik keluar masuk negara ini dari Indonesia dengan memperbaharui pas lawatan sosial mereka.
"Kami menahan 10 wanita itu selepas siasatan mendapati mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini.

"Malangnya, bapa ayam berusia 30-an yang 'menjaga' wanita terbabit melarikan diri menerusi lubang seluas kira-kira 0.24 meter dibuat khas sebagai laluan memboloskan diri ke rumah kedai bersebelahan premis itu.

"Kita percaya bapa ayam itu melarikan diri ketika serbuan, menerusi lubang khas di bawah katil salah sebuah bilik di tingkat atas, membolehkan lelaki ini menyusup ke bilik sebelah," katanya.

Semua pelacur terbabit berusia 25 hingga 36 tahun kini ditahan mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial, dan kini sudah dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas untuk dihantar pulang ke negara mereka.

"Dua pelanggan yang diambil keterangan mengaku sudah beberapa kali melanggan pelacur di kedai itu pada kadar RM80 setiap seorang sejak beberapa bulan lalu. Malah, seorang daripada mereka mengaku sudah melanggan pelacur di situ sebanyak empat kali," katanya.

No comments:

Post a Comment