Wednesday, April 20, 2011

Mekanik dan pemilik bengkel ke tali gantung edar 1.9 kilogram ganja

Mekanik dan pemilik bengkel ke tali gantung edar 1.9 kilogram ganja


2011/04/20
SHAH ALAM: Seorang mekanik dan pemilik bengkel dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar ganja seberat 1,885 gram dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abd. Rahim Uda membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa tertuduh, Muhammad Zikry K.Suresh, 42, dan Md Sukri Abdul Rahman, 42, melakukan kesalahan terbabit.
Beliau berkata, pihak pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap aspek pengedaran itu sendiri selain ciri-ciri lain seperti pemilikan dan kawalan ke atas ganja berkenaan. "Tertuduh pertama (Muhammad Zikry) secara terang-terangan berunding dengan Detektif Sarjan Wong Soon Meng (agen penyamaran) dan ini menunjukkan dia ada pengetahuan atas dadah dan dia jadi subject matter dalam kes ini. Tertuduh kedua (Md Sukri) juga didapati ada knowledge atas dadah," katanya.

Muhammad Zikry, seorang mekanik, dan Md Sukri, pemilik bengkel, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tempat letak kereta bersebelahan Stesen Minyak Shell, KM 34.5 arah Kuala Lumpur, Lebuhraya Kesas, Subang Jaya, kira-kira jam 5 petang, 23 Mac 2009.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Semasa serbuan dilakukan, pihak polis menemui dua buah beg plastik berisi dua ketulan mampat ganja di tempat duduk penumpang di bahagian hadapan kereta BMW yang dipandu oleh Md Sukri.
Sepanjang perbicaraan, seramai enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pihak pembelaan mengemukakan tiga orang saksi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadhli Mat Sutris sementara Muhammad Zikry diwakili peguam K Vikneswaran dan Md Sukri diwakili peguam Azzizul Shahriman Mat Yusof. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment