Thursday, May 26, 2011

Cedera dilibas budak dengan benda tajam

Cedera dilibas budak dengan benda tajam


AZLINA Ahmad mangsa kelar seorang kanak-kanak di Seri Era Apartment, Desa Latania, Seksyen 36 Shah Alam, kelmarin.
________________________________________

SHAH ALAM 26 Mei - Seorang gadis cedera di tangan kiri dan muka setelah dilibas dengan benda tajam dipercayai pisau lipat oleh seorang budak berusia 12 tahun di tempat letak kenderaan rumahnya di Apartmen Seri Era, Desa Latania Seksyen 31 di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi ketika mangsa, Azlina Ahmad, 24, berada dalam keretanya sementara budak itu yang merupakan jirannya sedang menunggu ketibaan bas sekolah.
Difahamkan, murid tahun enam itu bertindak demikian kerana tertekan akibat sering dibuli oleh rakan sebayanya.
Azlina ketika ditemui berkata, semasa dia baru menghidupkan enjin kereta dengan cermin tingkap terbuka, kanak-kanak itu tiba-tiba menghampirinya.
"Dia bertanya adakah saya kenal mana-mana tukang urut yang boleh mengurut ibunya yang sedang sakit dan saya berjanji untuk menolongnya mencari tukang urut.
"Tiba-tiba, budak itu mengeluarkan sesuatu daripada poket belakang sebelum melibas-libaskan benda tajam ke arah muka saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azlina kemudian segera memandu kenderaannya ke arah surau berhampiran sebelum menghubungi abang iparnya, Amin Olah, 28, untuk memaklumkan kejadian itu.
Dia yang baru setahun tinggal bersama Amin dan kakaknya, Zuraina, 29, di Seri Era Apartment kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah sebelum membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15 Shah Alam.
Kejadian tragis itu menyebabkan dia kini takut untuk memandu kenderaan bersendirian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu pihaknya sedang menjalankan siasatan.

No comments:

Post a Comment