Remaja dihukum gantung
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
Ridzuan Taib dibawa keluar setelah dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh neneknya di Mahkamah Tinggi, Alor Setar, Kedah, semalam.
________________________________________
ALOR SETAR 15 Mei – Tiga tahun lalu, seorang remaja sanggup menikam dan menjerut leher neneknya sehingga mati setelah gagal memperoleh wang RM50 untuk keluar bersama kekasih.
Di sebalik kekesalan kerana membunuh darah daging sendiri itu, remaja terbabit hari ini pasrah apabila dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan berkenaan.
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Mohd. Azman Husin setelah tertuduh, Ridzuan Taib, 21, disabitkan atas pertuduhan yang dihadapinya selepas keterangan pembelaannya gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Terdahulu, Hakim Mohd. Azman sempat bertanya kepada tertuduh sama ada pada firasatnya dia akan didapati bersalah dan akan menerima hukuman gantung sampai mati atau sebaliknya dan dijawabnya: “Saya pasrah tuan hakim.”
Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, tertuduh dilihat teresak-esak di kandang tertuduh, sementara di galeri awam beberapa ahli keluarga termasuk ibunya turut mengalirkan air mata.
Mengikut pertuduhan, Ridzuan didakwa membunuh Basah Ahmad, 75, di rumah No. 15, Taman Berlian, Jitra antara pukul 9 pagi hingga 3.15 petang pada 11 Mei 2008.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Ridzuan yang berasal dari Kampung Pulau Pak Ubin, Jitra dalam pembelaannya sebelum ini menyatakan, pembunuhan tersebut dilakukan oleh bekas teman wanitanya, Norain Mutalid.
Mohd. Azman dalam penghakimannya bagaimanapun menyifatkan keterangan tertuduh bersifat penafian semata-mata dengan meletakkan kesalahan kepada teman wanitanya.
Mengikut fakta kes, Ridzuan yang berusia 18 tahun ketika kejadian, pergi ke rumah neneknya untuk meminta wang RM50 bagi membolehkan dia keluar bersama teman wanita.
Keengganan wanita tersebut menyerahkan wang itu menyebabkan tertuduh bertindak di luar kewarasan dengan menjerut lehernya dengan tali selain menikam menggunakan pisau di bahagian abdomen.
Warga emas tersebut turut ditemui dengan kesan lebam pada badan selain mengalami patah tulang rusuk akibat dipukul objek keras.
Tertuduh ditahan beberapa jam selepas kejadian dan hasil pemeriksaan ke atasnya polis berjaya menemui semula kesemua barang kemas milik mangsa seperti gelang dan rantai yang dilaporkan hilang.
Sementara itu, wang RM150 yang disamun tertuduh dikatakan digunakan untuk membeli belah termasuk membeli barangan kosmetik teman wanitanya.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Sharif Mat akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan kes tersebut.
Sunday, May 15, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment