Wednesday, May 18, 2011

Geng Sham Botak tumpas

Geng Sham Botak tumpas
Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my


CHUAH Ghee Lye (tengah) bersama dua pegawainya, Deputi Supritendan Sandra Monica (kanan) dan Asisten Supritendan Aniesah Ahmad (kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka, semalam.- UTUSAN/AZLI AHAD
________________________________________

MELAKA 18 Mei - Kecekapan pihak polis berjaya menahan lima lelaki menyamar anggota pasukan itu, dikenali 'Geng Sham Botak', 33 jam selepas mereka menyamun dan mencabul seorang wanita warga Indonesia di Taman Melaka Raya, di sini baru-baru ini.
Tangkapan pertama pada 12 Mei lalu membabitkan ketua kumpulan geng itu yang dikenali sebagai Sham berusia 41 tahun, hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Hilir, Banda Hilir.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, susulan penahanan suspek, polis melakukan empat serbuan dan berjaya menahan empat lagi suspek berusia antara 26 hingga 29 tahun.
"Dalam semua serbuan itu, kami merampas dua vest mempunyai lambang Polis Diraja Malaysia, satu set 'walkie-talkie' dan sekeping risalah perniagaan menjual peralatan pasukan beruniform.
"Turut dirampas, dua beg sandang, wang tunai kertas dan syiling bernilai RM170, tiga bilah parang, dua bilah pedang samurai, 11 unit telefon bimbit, dua ketul emas yang disamun dan telah dileburkan dan sebuah kereta Proton Waja curi berwarna perak yang digunakan suspek," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 pagi 11 Mei lalu, pihaknya menerima laporan kes samun melibatkan tiga lelaki tempatan menaiki sebuah Proton Waja ke atas pasangan warga Indonesia.
Suspek yang bersenjatakan parang dan memakai vest polis semasa menyamun mengikat mangsa sebelum mencabul mangsa perempuan.
Tambahnya, berikutan kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM10,000.
Menurut Ghee Lye, siasatan polis setakat ini mendapati, empat daripada ahli kumpulan penjenayah tersebut memiliki rekod jenayah lampau, malah seorang daripadanya memiliki 19 rekod jenayah.
"Dengan tertangkapnya kesemua suspek, kita percaya berjaya menyelesaikan lapan kes samun dan curi kenderaan di negeri ini," katanya.
Beliau menambah, semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment