Thursday, May 5, 2011

Pelajar antara 21 remaja ditahan curi motosikal

Pelajar antara 21 remaja ditahan curi motosikal


2011/05/05
BUKIT MERTAJAM: Polis menahan 21 orang remaja, kebanyakannya pelajar sekolah dan merampas 18 motosikal dalam Operasi Lejang yang dijalankan pada 25 hingga 30 April lalu di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata kesemua mereka yang berusia antara 13 hingga 25 tahun itu adalah beberapa anggota kumpulan yang bergiat aktif dalam mencuri motosikal di sekitar SPT.
Katanya, polis juga percaya berjaya menumpaskan beberapa kumpulan curi motosikal termasuk kumpulan yang dikenali sebagai Geng Sayuti Mengkuang dan merampas empat rangka motosikal sepanjang Operasi Lenjang itu.
“Kita menubuhkan satu pasukan khas untuk membanteras kumpulan berkenaan kerana kes curi motosikal dikenal pasti semakin meningkat di SPT dan dengan penahanan mereka, polis percaya dapat menyelesaikan 17 kes kecurian motosikal yang berlaku di sekitar SPT,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi mereka ialah dengan menggunakan ‘allen key’ yang diubah suai dan mencuri motosikal sebelum menjual komponennya kepada pihak tertentu manakala rangkanya dibuang ke dalam sungai.

Sementara itu, polis menemui semula 355 unit komputer riba 1Malaysia untuk kegunaan pelajar sekolah di Seberang Prai Selatan (SPS) yang dilarikan ketika dalam proses penghantaran pada 28 April lalu.

Komputer riba bernilai RM324,825 itu ditemui semula pada hari barangan berkenaan dilaporkan hilang susulan penahanan dua lelaki termasuk pemandu lori yang membawa komputer itu ketika dicuri di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Juru.
Abdul Rahim berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi, 28 April lalu, pemandu lori yang membawa barangan itu dari Butterworth ke SPS mendakwa lori membawa komputer riba dilarikan ketika berhenti di R&R Juru.

Berikutan itu, pemandu lori berusia 45 tahun membuat laporan polis, namun polis berjaya membongkar tipu muslihat pemandu lori berkenaan selepas keterangannya bercanggah.

“Polis menahan pemandu lori terbabit dan setelah disoal siasat dia mengaku merancang melarikan komputer berkenaan bersama seorang rakannya berusia 47 tahun dengan memberi kunci pendua lori kepada lelaki itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment