6 ditahan kes samun bersenjata, edar dadah
KUALA LUMPUR 18 Mei - Enam individu termasuk seorang warga Iran yang terlibat dalam jenayah samun jalanan bersenjata dan pengedaran dadah ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Dutamas Raya, dekat sini, awal pagi ini.
Mereka terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 26 hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan pukul 2.30 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika serbuan, seorang lelaki dipercayai dalang kegiatan tersebut bersama dua wanita sedang berehat dalam unit kondominium itu.
"Pihak polis terpaksa menunggu selama 10 minit sebelum pintu dibuka. Pada masa yang sama, anggota polis yang berkawal di bawah mendapati suspek telah mencampakkan sepucuk pistol dan satu bungkusan hitam mengandungi 14 biji peluru.
"Kira-kira setengah jam kemudian, tiga lagi suspek mengunjungi rumah tersebut sebelum ditahan selepas hasil pemeriksaan dua daripadanya memiliki rekod jenayah lampau," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dekat sini, hari ini.
Menurut Zakaria, polis tidak menolak kemungkinan kesemua suspek turut menyamar sebagai anggota polis ketika melakukan jenayah hasil penemuan sepasang gari, buku catatan polis dan sepucuk pistol.
Katanya, kumpulan itu dipercayai menyasarkan pemandu yang baru meletakkan kenderaan sebelum diserang menggunakan senjata dan melarikan barangan berharga.
"Dalam kejadian terbaharu Isnin lalu, seorang mangsa cedera disamun di Jalan Duta, dipercayai dilakukan kumpulan tersebut," katanya.
Jelas beliau, pemeriksaan polis di dalam rumah tersebut menemui pelbagai jenis senjata berbahaya digunakan untuk kegiatan samun.
"Empat bilah parang, tiga bilah pedang samurai, tiga bilah pisau dan alat pemedih mata.
"Selain itu turut dirampas 79 gram dadah jenis syabu, sebuah kereta Mercedes C200, wang tunai Rm37,000 dan lebih 10 buah telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM100,000," katanya.
Tambah Zakaria, dengan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes jenayah samun di daerah Sentul.
Wednesday, May 18, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment