Wednesday, May 18, 2011

Polis rampas dadah RM10.5 juta

Polis rampas dadah RM10.5 juta
Oleh MALINDA ABDUL MALIK
pengarang@utusan.com.my


NOOR Rashid Ibrahim menunjukkan pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas dalam beberapa serbuan pada sidang media di Pulau Pinang, semalam.
________________________________________

PULAU PINANG 18 Mei - Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini bernilai RM10.5 juta selepas membongkar enam buah makmal dadah dalam tempoh empat hari.
Hasil serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, seramai 10 lelaki dan empat wanita termasuk dua wanita warga China dipercayai dalang sindiket tersebut ditahan.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, selain pelbagai jenis dadah, pihaknya turut merampas peralatan memproses bahan terlarang itu, sepucuk pistol dan 77 butir peluru hidup.
"Kita percaya dadah ini untuk pasaran tempatan. Kejayaan ini menunjukkan aktiviti memproses dadah kini dipelopori warga tempatan dan mungkin berpunca daripada kesukaran menyeludup masuk dadah ke Malaysia sejak kebelakangan ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut menyita aset milik suspek terdiri daripada 11 buah kenderaan pelbagai jenis, barang kemas, jam tangan, wang dalam akaun dan wang tunai bernilai lebih RM23,355.
Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata, pihaknya akan mempertingkatkan pemantauan ke atas pangsapuri mewah memandangkan lokasi itu sering dijadikan pusat operasi untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
"Kita percaya trend sindiket makmal dadah kini sudah berubah dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti ahli-ahli sindiket itu," ujarnya.
Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun kini direman sehingga esok.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

No comments:

Post a Comment