Sunday, May 15, 2011

Polis lepas 5 das tembakan

Polis lepas 5 das tembakan
BUKIT MERTAJAM 11 Mei – Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah sebuah kereta yang dipandu laju dari Batu Feringghi menghala ke Perai sebelum kenderaan itu berjaya dihentikan di Kilometer 0.3 Jambatan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, kereta Kia Optima yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun bersama empat wanita berusia 18 hingga 50 tahun itu terbabas ke pembahagi jalan selepas tayarnya terkena tembakan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut sebelum itu terserempak dengan kereta terbabit yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Batu Feringghi.
Menurutnya, sebuah kereta peronda polis cuba menahannya di Jalan Tanjung Tokong tetapi lelaki itu terus memecut laju kenderaannya sejauh hampir 20 kilometer.
“Polis terpaksa menghimpit kereta itu ketika berada di atas jambatan menghala susur keluar Perai dan melepaskan tembakan amaran yang mengenai tayar kereta.
“Kereta itu berpusing dan terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum kesemua mereka berjaya ditahan pihak polis.
“Hasil pemeriksaan menemui sebungkus dadah dipercayai syabu serta peralatan menghisap dadah di dalam kereta terbabit, selain nombor plat dan cukai jalan didapati palsu,” katanya ketika ditemui pada Kempen Sayangi Kanak-kanak di Sungai Pinang dekat George Town hari ini.

No comments:

Post a Comment