Thursday, May 26, 2011

Pelajar cedera telinga dibelasah 20 rakan

Pelajar cedera telinga dibelasah 20 rakan


TELINGA kiri Abdul Rahman Abdul Ghani koyak akibat terkena cermin tingkap selepas dibelasah sekumpulan pelajar, kelmarin.
________________________________________

KUALA TERENGGANU 26 Mei - Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini mendakwa cedera di telinga kiri dan terpaksa menerima tujuh jahitan selepas diserang sekumpulan 20 pelajar sekolah yang sama, semalam.
Selain cedera di telinga, Abdul Rahman Abdul Ghani, 14, dari Kampung Bukit Kandis dekat sini turut mengalami luka di belakang badan setelah dipukul dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tujuh adik- beradik baru memasuki kelas petang di sekolahnya.
Abdul Rahman mendakwa, sekumpulan pelajar tingkatan dua tiba-tiba menghampirinya yang kemudian bertindak memukul dan menendangnya, menyebabkan dia terjatuh selain telinga kirinya tersangkut pada cermin kelas.
Berikutan kejadian itu, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan terpaksa menerima tujuh jahitan setelah telinga kirinya terkoyak.
Susulan kejadian itu, mangsa bersama abangnya membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.
Utusan Malaysia difahamkan, polis telah menahan seorang pelajar sekolah tersebut pada petang hari kejadian untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K. Manoharan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.
Sementara itu, ibu mangsa, Fatimah Ngah, 54, ketika ditemui di rumahnya berkata, dia terkejut dan hampir pengsan sejurus melihat kecederaan teruk yang dialami anaknya itu sebaik sahaja dia pulang ke rumah.
"Ketika dia pulang, baju sekolahnya dipenuhi darah. Saya sedih dengan kejadian yang menimpanya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment