Wednesday, May 18, 2011

Seludup dadah guna motosikal

Seludup dadah guna motosikal
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2011/05/19
Sindiket ambil kesempatan ketika kesibukan seberangi Tambak Johor

JOHOR BAHRU: Polis sudah mengambil semua langkah berjaga-jaga, termasuk menempatkan pengintip di pintu masuk sempadan negara terutamanya di Tambak Johor di sini, bagi membanteras penyeludupan dadah antara dua negara.
Ia adalah susulan kejayaan melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah ke Singapura, hasil tangkapan tujuh individu termasuk seorang wanita bersama lebih 4.8 kilogram heroin, selain menyita enam kenderaan yang keseluruhannya bernilai RM1.1 juta awal bulan ini.
Kejayaan melumpuhkan sindiket terbabit hasil siasatan polis terhadap kegiatan penyeludupan dadah yang menggunakan modus operandi membawanya dengan motosikal, mengambil kesempatan pada kesesakan ribuan motosikal menyeberangi Tambak Johor pada waktu pagi.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Imigresen menerusi perkongsian maklumat.

“Kita sedang mengesan saki baki anggota sindiket terbabit yang dipercayai cuba merekrut atau mengupah penunggang motosikal baru sebagai pembawa dadah upahan untuk menyeludup bahan larangan terbabit ke Singapura.

“Polis juga sudah menubuhkan pasukan khas bagi menangani masalah ini. Kita sudah merangka perancangan teliti termasuk menempatkan pegawai sebagai pengintip di pintu masuk sempadan negara bagi memudahkan polis mengesan mereka yang disyaki," katanya di sini, semalam.
Mohd Mokhtar berkata, pihaknya juga meningkatkan kerjasama risikan antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan Biro Narkotik Pusat Singapura bagi mengesan dan melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah berkenaan.

Berhubung penahanan tujuh individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 22 hingga 58 tahun yang terbabit dalam sindiket berkenaan, Mohd Mokhtar berkata, semua suspek masih dalam tahan reman bagi membantu siasatan.

“Kita mahu masyarakat juga memainkan peranan dan bekerjasama dengan polis dalam memerangi kegiatan ini. Apa saja maklumat yang mereka ketahui, boleh disalurkan kepada polis," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Kastam Johor, Harun Ishak, berkata pemeriksaan berkala sering dilakukan di Tambak Johor bagi membanteras kegiatan penyeludupan.

“Kita akan meningkatkan lagi pemeriksaan, malah setiap kenderaan akan diperiksa secara teliti supaya penjenayah tidak mempunyai peluang dan ruang untuk menyeludup bahan terlarang itu," katanya.

No comments:

Post a Comment