Lelaki didakwa memiliki senjata api dan pedang
KOTA BHARU 18 Mei - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki pistol, peluru dan sebilah pedang panjang tanpa lesen sah pada bulan lalu.
Aminudin A. Rahman, 36, didakwa memiliki barang-barang tersebut di kawasan bukit Gong Genor, Laloh, Kuala Krai, dekat sini kira-kira pukul 11.30 malam, 16 April lalu.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki pistol revolver .38 SPL 4" tanpa nombor siri mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan maksimum enam kali.
Aminudin turut didakwa memiliki enam butir peluru jenis rds .38 SPL CCI dan sebutir peluru jenis rds .38 SPL. Rai tanpa lesen atau permit.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh yang masih bujang itu juga menghadapi tuduhan ketiga iaitu memiliki sebilah pedang panjang tanpa lesen atau permit.
Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan sebatan.
Wednesday, May 18, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment