10 remaja 'merempit' dengan basikal ditahan
SHAH ALAM 15 Mei - Operasi Lumba Haram yang dijalankan oleh polis trafik biasanya akan memberkas penunggang motosikal yang berlumba di jalan raya.
Tetapi lain pula ceritanya dalam operasi sama yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor awal pagi ini apabila 10 remaja berbasikal turut ditahan kerana berpeleseran di jalan raya.
Kesemua remaja berusia antara 13 hingga 15 tahun itu ditahan oleh pasukan trafik ketika sedang 'merempit' dengan basikal masing-masing di Jalan Persiaran Masjid, Seksyen 10 di sini kira-kira pukul 2 pagi.
Kumpulan itu sanggup berbasikal selama tiga jam dari Sijangkang, Banting ke Shah Alam semata-mata untuk berpeleseran dan ada di antara mereka yang keluar tanpa pengetahuan ibu bapa serta memiliki rokok.
Penguat Kuasa Trafik IPK Selangor, Asisten Supritendan Hambazi Abd. Rahman berkata, kesemua remaja itu ditahan kerana berpeleseran dan menunggang basikal dari Sijangkang ke Shah Alam tanpa lampu yang boleh membahayakan nyawa mereka.
Beliau berkata, kesemua mereka kemudian dibawa ke balai polis dan diberi nasihat agar tidak mengulangi kesalahan sama.
"Polis kemudian menghubungi ibu bapa mereka untuk memaklumkan penahanan tersebut. Kita juga minta ibu bapa remaja terbabit datang ke balai dan membawa mereka semua pulang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Hambazi, operasi yang turut memburu samseng jalanan itu merupakan rutin biasa bagi membanteras aktiviti jenayah dan kesalahan lalu lintas yang disertai kira-kira 20 anggota trafik dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Tambahnya, sepanjang operasi hampir tiga jam yang bermula pukul 1.30 pagi itu, sebanyak 131 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebanyak 21 motosikal dan tiga buah kereta disita atas kesalahan antaranya tiada perlindungan insurans dan cukai jalan serta pemandunya tiada lesen memandu.
Katanya, pihaknya akan terus menjalankan operasi yang sama dengan lebih kerap bagi mendidik pengguna jalan raya agar lebih berhemah.
Sunday, May 15, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment