Syabu RM2.41j dalam ubi kayu, keledek
Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my
2011/05/17
NORDIN (kanan) menunjukkan ubi kayu digunakan untuk menyeludup syabu di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, semalam.
2 warga Nigeria ditahan cuba seludup di KLIA
SHAH ALAM: Selepas beberapa kali percubaan menyeludup dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini, menemui kegagalan, sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan helah terbaru dengan memasukkan syabu dalam ubi kayu dan ubi keledek.
Modus operandi itu terbongkar selepas polis menahan dua lelaki warga Nigeria, masing-masing berumur 31 dan 32 tahun yang menyorokkan 11 bungkusan dadah jenis syabu bernilai RM2.41 juta dalam hasil tanaman terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata kedua-dua lelaki itu tiba dari Lagos, Nigeria dan ditahan dalam dua tangkapan berasingan di KLIA iaitu pada jam 3.45 petang Sabtu lalu dan jam 7.30 pagi kelmarin.
Katanya, jumlah berat keseluruhan dadah itu dianggarkan 9.64 kilogram.
“Sebanyak 800 gram syabu ditemui dalam tangkapan pertama manakala selebihnya tangkapan kedua. Semua suspek ditangkap selepas mereka dilihat berkelakuan mencurigakan dan agak pelik apabila membawa tanaman terbabit dari luar negara.
“Ubi kayu dan ubi keledek ini diletak dalam beg plastik. Apabila suspek ditanya oleh polis mengapa membawa tanaman ini, alasan yang diberikan ialah rakan mereka mengirimnya.
“Polis yang mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena bertindak memecahkan tanaman ini sebelum menemui syabu disorok dalam ubi kayu dan ubi keledek yang sudah dibuang isinya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.
Nordin berkata, hasil tanaman itu dibelah dua sebelum suspek menggunakan beberapa besi halus untuk dicucuk di bahagian dalam tanaman berkenaan yang berfungsi sebagai pengikat bagi mengelakkan ia terlerai ketika dibawa.
Selain membawa pakaian, katanya, suspek turut membawa ikan masin untuk mengelirukan polis,” katanya.
Wednesday, May 18, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment