Penoreh edar dadah dihukum gantung
ALOR SETAR 15 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang penoreh getah kerana mengedar 381 gram dadah jenis kanabis empat tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Azman Husin membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Nasarudin Mohd. Nopiah, 44, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dan disabitkan dengan kesalahan tersebut.
Tertuduh yang berkemeja T putih dan berseluar biru dilihat tenang menerima keputusan itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) yang membawa hukuman mati mandatori.
Menurut pertuduhan, Nasarudin didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 381 gram di hadapan sebuah kedai bunga di Taman Wira Mergong di sini pada pukul 5.45 petang 14 Januari 2007.
Hakim dalam prosidingnya memberitahu, keterangan pembelaan tertuduh merupakan satu penafian semata-mata.
Katanya, tertuduh ketika ditangkap membawa plastik hijau berisi dadah itu dan tertuduh memang terlibat dengan jual beli dan pengedaran dadah.
"Tertuduh ada berbincang dengan salah seorang saksi pendakwaan iaitu polis yang menyamar sebagai pembeli untuk memproses jual beli dadah pada 13 Januari 2007 dan serahan akan dibuat pada 14 Januari," katanya.
Peguam tertuduh, Sharif Mat dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh mempunyai tanggungan seorang isteri dan tujuh anak yang masih bersekolah selain menjaga ibu bapa yang sakit.
Katanya, ia juga adalah kesalahan pertama dan tertuduh sudah insaf serta berjanji tidak mahu mengulangi kesalahan sama.
Norhayati memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana dadah adalah antara musuh utama negara.
Katanya, pengedaran dadah bukan berlaku secara biasa tetapi wujud transaksi melalui penyamaran yang dibuat oleh polis.
"Keperibadian tertuduh hanya boleh diambil sedikit berbanding implikasi akibat dan kemudaratan yang besar kepada masyarakat berikutan pengambilan dadah itu," katanya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh meminta bakal pembeli itu berjumpa di sebuah medan selera di Mergong dan kemudian meminta mengikutnya menaiki kenderaan pacuan empat roda ke kawasan perniagaan di Taman Wira.
Sejurus tiba di situ, sepasukan polis membuat serbuan dan tertuduh melarikan diri sehingga terjatuh ke dalam longkang.
Ketika ditarik dari longkang, sebungkus plastik hijau berisi dadah jenis kanabis masih terlilit pada tangan kanan tertuduh.
Sunday, May 15, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment