Wednesday, May 4, 2011

Eramin 5 RM7.1 juta dirampas

Eramin 5 RM7.1 juta dirampas
Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 4 Mei - Polis menyerbu sebuah makmal memproses dadah di Bandar Pinggiran Subang, Petaling Jaya, dekat sini Isnin lalu dan menemui 317,130 biji pil dan sejumlah serbuk Eramin 5 bernilai RM7.1 juta.
Makmal yang beroperasi di salah sebuah premis lot kedai itu diserbu kira-kira pukul 3 petang.
Ini merupakan kejayaan pertama polis Selangor mengesan makmal dadah di negeri itu tahun ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, melalui serbuan tersebut, pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dan seorang ahli kimia warga Taiwan berusia 41 tahun yang pakar memproses Eramin 5.
Selain itu katanya, polis turut merampas wang tunai RM21,000 dan pelbagai mata wang asing iaitu Dolar Taiwan 101,800 (RM10,575), Dolar Singapura 7,572 (RM18,397), Yuan China 1,440 (RM660) dan Dolar Hong Kong 450 (RM172) serta merampas enam mesin memproses Eramin 5.
"Kita percaya makmal tersebut milik sindiket antarabangsa dan membekal Eramin 5 untuk pasaran tempatan dan luar negara.
"Siasatan kita mendapati makmal tersebut telah beroperasi sejak awal tahun ini," katanya kepada pemberita di pusat media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Nordin Kadir.
Menurut Tun Hisan, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment