Thursday, May 26, 2011

Dadah RM2j: 7 lelaki, 2 wanita didakwa

Dadah RM2j: 7 lelaki, 2 wanita didakwa
GEORGETOWN 26 Mei - Tujuh lelaki dan dua wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan berasingan mengedar dan memiliki dadah bernilai lebih RM10 juta, kira-kira dua minggu lalu.
Bagi kes pertama, Tan Beng Tatt, Ooi Kean Wah, Koay Heng Chong, Fiteli Mohamat Saadin, Lisa Md. Kassim dan Mastura Mohd. Fudzi dituduh mengedar 2,015 gram methamphetamine di Blok 77-23A-5 Penang Times Square, Jalan Datuk Keramat di sini pada pukul 7.30 malam, 12 Mei lalu.
Beng Tatt, 48, Kean Wah, 42, Heng Chong, 27, Fiteli, 40, Lisa, 28, dan Mastura, 20, juga dituduh mengedar 15,261 gram heroin pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Beng Tatt dan Kean Wah juga menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu mengedar 18,071 gram methamphetamine, 54,539 gram cecair methamphetamine dan 9,817 gram ketamine pada pukul 9.20 malam di tempat dan hari yang sama.
Kean Wah juga menghadapi satu lagi pertuduhan bersama-sama Tan Choo Seng, 35, mengedar 4,855 gram heroin di Taman Lembah Sungai, Jalan S.P. Chelliah di sini pada pukul 10.30 malam pada hari yang sama.
Dalam kes kedua, Keong Gim Chye, 51, dan Ng Chun Haw, 31, dituduh mengedar 32,387 gram heroin di Lengkok Lumba Kuda Air Itam di sini, pada pukul 7.45 malam, 12 Mei lepas.
Kedua-dua mereka turut menghadapi dua lagi pertuduhan mengedar 965 gram amphetamine dan 18 gram methamphetamine pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Kesemua mereka hanya tunduk dan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Aini Yusof dan tiada pengakuan dicatatkan daripada kesemua tertuduh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment