Rompak stesen minyak: Tujuh sekeluarga ditahan
JOHOR BAHRU 15 Mei - Seorang pemandu teksi dan kesemua enam anggota keluarganya ditahan polis berhubung kes kejadian tetak, membawa senjata berbahaya di tempat awam dan merompak stesen minyak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Zainuddin Yaacob berkata tujuh sekeluarga itu ditahan polis pada kira-kira 2.05 petang di Taman Pelangi selepas berjaya dipujuk oleh polis supaya menyerah diri.
Katanya, insiden bermula dengan kejadian seorang lelaki berusia 25 tahun ditetak di kepala dengan sebilah pedang oleh bapa saudaranya yang berusia 49 tahun di rumah bapa saudaranya di Bandar Baru Permas Jaya pada 9 malam, Jumaat lalu.
Mangsa yang menerima empat jahitan membuat laporan polis pada 12.05 tengah hari semalam, katanya dalam satu kenyataan di sini.
Bertindak atas laporan itu, polis telah pergi ke rumah suspek namun mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi telah membawa isterinya yang berusia 37 tahun, bayi perempuan 16 bulan serta empat anak lelaki masing-masing berusia lapan, 12, 14 dan 15 tahun menaiki teksi menghala ke Bandar Baru Permas Jaya.
Katanya, kereta peronda polis yang mengekori teksi itu melihat suspek dan anggota keluarganya melibas-libaskan beberapa bilah pedang melalui tingkap yang terbuka.
Beliau berkata, teksi itu kemudiannya berhenti di sebuah stesen minyak di mana suspek, dua anaknya yang bersenjatakan pedang masuk ke stesen itu, menyamun empat bungkus rokok dan coklat manakala anak lelaki suspek yang berusia lapan tahun berjaga di luar kedai dengan bersenjatakan sebilah parang.
Polis telah cuba memujuk keluarga tersebut untuk menyerah diri agar tiada siapa dicederakan namun tidak diendahkan malah cuba menyerang polis sebelum teksi itu beredar, katanya.
Namun kenderaan mereka berjaya dihentikan oleh polis di Jalan Pasir Pelangi, Taman Pelangi sebelum mereka ditenangkan dan berjaya dipujuk untuk menyerah diri.
Zainuddin berkata, polis merampas enam bilah pedang, sebilah pisau sayur dan sebatang cotar daripada keluarga tersebut.
Katanya siasatan mendapati pemandu teksi dan dua anak lelakinya itu telah merompak barang makanan, minuman dan lima bungkus rokok dari stesen minyak yang sama pada 1.30 petang, Jumaat lalu. - BERNAMA
Sunday, May 15, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment