Dadah: Lelaki Uganda ditahan
ALOR SETAR 15 Mei - Seorang lelaki warga Uganda ditahan bersama dadah jenis heroin dan ganja bernilai RM353,000 yang disorok dalam dua buah beg berhampiran stesen minyak di Tanah Merah, Jitra, dekat sini malam tadi.
Suspek yang dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah ditahan sepasukan anggota polis yang sedang menjalankan operasi di situ selepas mendapat maklumat awam pada pukul 11.55 malam.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, melihat gelagat warga asing itu dalam keadaan mencurigakan, polis menghampirinya dan memperkenalkan diri untuk melakukan pemeriksaan tetapi suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan.
Kata beliau, polis menemui 15 ketulan mampat daun kering dibalut dengan plastik lutsinar disyaki ganja seberat 15 kilogram dalam salah sebuah beg suspek berusia 34 tahun itu.
"Pemeriksaan ke atas beg yang digalas pula menemui 43 pelet plastik lutsinar disyaki dadah heroin gred tinggi.
"Kita menganggarkan nilai ganja yang dibawa suspek adalah RM53,000 manakala heroin pula bernilai RM300,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini.
Sunday, May 15, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment