Sunday, June 12, 2011

3 ditahan menyamar polis

3 ditahan menyamar polis
KOTA KINABALU 12 Jun - Kegiatan lima individu termasuk seorang wanita menyamar sebagai anggota pasukan itu untuk menyamun berakhir dengan penahanan tiga ahlinya di Menggatal dan Kinarut dekat sini, pada Selasa dan Khamis lalu.
Dua lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas kini diburu polis.
Kumpulan itu bukan sahaja menyamar dengan menggunakan pakaian dan topi yang mempunyai lambang polis, malah turut menggunakan sebuah kereta Perodua Kancil tertera perkataan polis.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, bertindak atas laporan mangsa Selasa lalu, polis telah melancarkan operasi dan menahan sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Rampayan, Menggatal.
"Polis hanya dapat menahan seorang wanita berusia 26 tahun, manakala tiga suspek lelaki di dalam kereta berjaya melarikan diri ketika pemeriksaan.
"Kita kemudian menemui anak baju dan topi mempunyai lambang polis, serangkai kunci kereta Nissan, dua rangkai kunci kereta Perodua, dua rangkai kunci rumah, alat pemotong pelbagai saiz, sebilah parang dan pisau," katanya di sini hari ini.
Ahmad Sofi berkata, susulan penahanan tersebut, polis menahan dua lagi suspek lelaki di Beringgis Resort, Kinarut, dua hari selepas itu.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan merupakan warga tempatan berusia 34 dan 38 tahun dan polis turut merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit, kad bank, sebilah pisau lipat, lima kad sim, empat keping wang kertas asing dan sebuah kereta Perodua Kancil yang tertera perkataan polis.
"Ketiga-tiga suspek sebelum ini mempunyai rekod jenayah lampau dan akan disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan," katanya.

No comments:

Post a Comment