Thursday, June 23, 2011

Pegawai SPRM cedera diserang 6 lelaki

Moses Lawrence dirawat di Hospital Serdang akibat diserang di Taman Sungai Besi Indah, Kuala Lumpur, semalam.
________________________________________

KUALA LUMPUR 21 Jun – Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cedera selepas diserang enam lelaki yang bersenjatakan parang di hadapan rumahnya di Taman Sungai Besi Indah, di sini hari ini.
Ketika kejadian pukul 6.30 pagi itu, pegawai bahagian siasatan forensik suruhanjaya tersebut, Moses Lawrence, 36, ingin keluar rumah untuk ke tempat kerja bersama isteri dan anaknya.
Namun semasa beliau sedang mengunci pintu pagar, enam lelaki muncul lalu menyerangnya mengakibatkan beliau cedera di lengan kiri dan calar di tangan kanan terkena libasan parang.
Mangsa yang berjaya memasuki kereta segera membuat laporan di Balai Polis Serdang sebelum ke Hospital Serdang untuk rawatan kecemasan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, pihaknya menyerahkan kes itu kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.
“Saya dimaklumkan pihak berkuasa, motif serangan tersebut masih belum dikenal pasti, sama ada bermotifkan samun atau ugutan.
“Pihak kami berharap suspek dapat dikenal pasti dan diberkas secepat mungkin,” katanya ketika ditemui selepas melawat Moses di hospital terbabit hari ini.

No comments:

Post a Comment