Thursday, June 23, 2011

2 bekas pelayan ke tali gantung

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
pengarang@utusan.com.my
RASAH 21 Jun - Kekejaman dua bekas pelayan bar yang menculik seorang pelajar kolej swasta bagi mendapatkan wang tebusan RM100,000 sebelum membunuh mangsa dengan sebilah parang dua tahun lalu dibalas dengan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Seremban, di sini, hari ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan demikian terhadap Sukhvinder Singh, 28, dan Rashid Abdullah, 61, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
Kedua-dua lelaki terbabit, masing-masing memakai kemeja-T warna putih kelihatan tenang sebaik sahaja keputusan tersebut dijatuhkan oleh mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Sukhvinder didakwa membunuh Gurumardev Singh Pannu, 23, dengan sebilah parang di Jalan Batu 14, Jalan Sua Betong, Port Dickson dekat sini antara pukul 3.30 pagi dan 7 pagi, 1 Februari 2009.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori.
Sukhvinder bersama Rashid turut didakwa menculik Gurumardev untuk mendapatkan wang tebusan RM100,000 di No. 5, Jalan Anggerik Doritis 31/39, Kota Kemuning Seksyen 31, Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 5.30 petang, 25 Januari 2009.
Bagi kesalahan tersebut kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.
Kedua-dua tertuduh dihukum gantung sampai mati bagi setiap pertuduhan yang dihadapi oleh mereka.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam bela N. Puspanathan dan K. Ashok.
Utusan Malaysia pada 5 Mac 2009 melaporkan, mayat mangsa dengan beberapa kesan tetakan di badan ditemui di jalan masuk ke sebuah ladang ternakan burung layang-layang di Sua Betong, Port Dickson.
Walaupun sejumlah wang tebusan telah dibayar oleh ahli keluarga mangsa, penculik tetap membunuh lelaki berkenaan.

No comments:

Post a Comment