Thursday, June 23, 2011

Ditinggal berseluar dalam

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 20 Jun - Dua lelaki bersenjatakan parang melarikan pakaian, barangan berharga dan kereta Honda City milik seorang kontraktor lelaki sebelum meninggalkan mangsa yang hanya berseluar dalam di tepi Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala Kuala Lumpur di sini, awal pagi ini.
Sebelum kejadian, mangsa berusia 33 tahun itu dikatakan memberhentikan keretanya di tepi lebuh raya berkenaan selepas Tol Setia Alam di sini untuk berehat kerana terlalu penat, kira-kira pukul 4 pagi.
Menurut sumber, ketika mangsa sedang berehat, tiba-tiba sebuah kereta Toyota Vios yang dinaiki dua lelaki tidak dikenali berhenti di tepi kereta mangsa.
"Salah seorang lelaki bersenjatakan parang turun dan terus memecahkan cermin kereta di bahagian pemandu sebelum mengarahkan mangsa beralih ke bahagian penumpang dan suspek pula duduk di tempat pemandu.
"Suspek kemudian memandu kereta mangsa menuju Kuala Lumpur sambil diekori rakan jenayahnya yang memandu Toyota Vios sementara mangsa yang ketakutan hanya membiarkan suspek memandu kenderaannya," kata sumber itu.
Sumber itu berkata, semasa memandu, suspek turut mengarahkan mangsa menyerahkan semua barang berharga dan menanggalkan baju serta seluar yang dipakainya.
"Sebaik sahaja tiba di Kilometer 7.1, NKVE, mangsa yang hanya berseluar dalam diarahkan turun daripada keretanya di situ," katanya.
Tambah sumber itu, mangsa meminta pertolongan orang awam yang lalu di tempat kejadian untuk membawanya ke Balai Polis Seksyen 6 di sini, bagi membuat laporan polis.
Katanya, kerugian dianggarkan hampir RM100,000 yang merangkumi kehilangan kenderaan, wang tunai, dua telefon bimbit berjenama, jam tangan, kasut berjenama dan beberapa lagi barang berharga lain.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu.

No comments:

Post a Comment