Wednesday, June 29, 2011

Geng 'Yusuf Kerinting' tumpas

MARANG 28 Jun 2011 - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi kereta mewah yang bergiat aktif di beberapa negeri selepas menahan lima lelaki dalam serbuan di tiga lokasi, baru-baru ini.
Kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 51 tahun dipercayai ahli kumpulan penjenayah curi kenderaan yang dikenali sebagai 'Yusuf Kerinting'.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 10 buah kenderaan curi yang dianggarkan bernilai RM800,000 antaranya jenis Toyota Camry, Toyota Caldina, Toyota Harrier, Toyota Wish, Mitsubishi Triton dan Mitsubishi Storm.
Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan dalam serbuan di sini, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu dalam operasi yang dijalankan sejak 27 Mei lalu sehingga hari ini.
"Nombor casis pada empat buah kenderaan berkenaan telah dikikis dan apabila dihantar ke Jabatan Kimia untuk semakan rekod mendapati ia merupakan kereta yang didaftarkan di Kulai, Johor; Besut, Terengganu dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
"Sebuah lagi kenderaan jenis Mitsubishi Storm masih dalam semakan kerana nombor casisnya sukar untuk dikenal pasti namun kita percaya ia juga merupakan kereta curi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Manoharan berkata, enam buah kenderaan lagi yang dirampas merupakan kenderaan yang tidak dijelaskan ansuran atau telah ditarik oleh penarik kereta.
Bagaimanapun, katanya, kenderaan berkenaan tidak dipulangkan kepada bank, sebaliknya nombor pendaftaran enjin diubah suai dan diwujudkan geran baru untuk dijual kepada pelanggan dengan harga yang lebih murah.
Kesemua suspek direman selama dua minggu untuk disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

No comments:

Post a Comment