Thursday, June 23, 2011

Pengurus kedai emas parah ditetak di leher

KUALA LUMPUR 21 Jun - Seorang pengurus cawangan sebuah kedai emas cedera parah dan terpaksa menerima 16 jahitan di leher setelah ditetak dalam kejadian samun di sebuah pusat beli-belah di Sungai Buloh, Petaling Jaya, dekat sini semalam.
Kejadian berlaku pukul 12 tengah hari, semasa mangsa dalam perjalanan menghantar stok barang kemas ke cawangan kedai itu di Shah Alam dekat sini.
Sumber berkata, pengurus lelaki berusia 40-an itu ditahan tiga lelaki bersenjatakan parang semasa memandu keluar dari tempat letak kereta di tingkat satu bangunan pusat beli-belah berkenaan.
"Dia yang meletakkan kereta di tingkat tiga sedang memandu keluar apabila kenderaannya tiba-tiba dihalang oleh kereta suspek semasa tiba di tingkat satu.
"Tiga lelaki bersenjatakan parang kemudian meluru ke arah mangsa dan memecahkan cermin kenderaannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian bertindak agresif apabila menetak leher mangsa dengan parang sebelum melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM50,000 hingga RM60,000.
Sumber berkata, seorang pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan di tempat letak kereta berkenaan kemudian terserempak dengan mangsa berlumuran darah dan segera melaporkan kejadian itu kepada polis.
"Mangsa yang semalam belum boleh bercakap kini dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.

No comments:

Post a Comment