PULAU PINANG 28 Jun - Polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 2.7 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM675,000 selepas menahan seorang wanita warga Vietnam di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini kelmarin.
Ibu tunggal berusia 23 tahun itu dipercayai menjadi 'keldai dadah' sindiket antarabangsa, tiba dari Mumbai, India selepas transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum tiba di negeri ini kira-kira pukul 10.10 pagi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, wanita itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika berjalan keluar dari balai ketibaan lapangan terbang berkenaan.
Setelah diperiksa, polis menemui satu bungkusan mengandungi hablur berwarna putih disyaki dadah jenis syabu dalam ruang khas bagasi yang dibawa wanita tersebut.
"Siasatan mendapati suspek menaiki sebuah pesawat dari Brazil sebelum tiba di negara ini.
"Berdasarkan rekod, suspek yang tidak bekerja pernah dua kali masuk ke Malaysia dan kali terakhir pada bulan lepas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ayub memberitahu, hasil siasatan awal, polis percaya dadah berkenaan dibawa untuk diserahkan kepada satu sindiket di negeri ini sebelum diedarkan di pasaran tempatan.
"Sindiket pengedaran dadah antarabangsa memilih mangsa mereka melalui Internet dan sasarannya ialah wanita yang suka berfoya-foya dan yang mahukan wang dengan cara mudah. Kita percaya suspek adalah antara yang menjadi mangsa," katanya.
Tambahnya, wanita terbabit kini ditahan reman sehingga 3 Julai depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori.
Sementara itu, Ayub memberitahu, empat warga asing yang terlibat dengan kes pengedaran dadah ditahan di lapangan terbang di sini sejak Januari hingga Jun tahun ini.
Wednesday, June 29, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment