Sunday, January 17, 2010

Warga emas cedera kena samun (18/1/10)

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
ctfa@bharian.com.my
ALOR SETAR: Seorang warga emas berusia 83 tahun cedera di kedua-dua pergelangan tangannya selepas diserang seorang lelaki yang cuba menyamun gelang tangan emas yang dipakainya di Kampung Siam, Alor Janggus di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa, Sapura Hussin yang ketika itu sedang menyiram pokok bunga di halaman rumahnya, terkejut melihat dua lelaki yang memakai topeng penutup muka memberhentikan motosikal berdekatan rumahnya.

Difahamkan, seorang daripada lelaki itu yang dipercayai membawa senjata tajam menghampiri warga emas itu dan mengheret mangsa ke bahagian tepi rumah bagi mengelak perbuatannya diketahui penduduk setempat sebelum menyamun mangsa.



Manakala, rakannya hanya menunggu di atas motosikal.

Sapura berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua pergelangan tangannya cedera kerana bergelut dengan lelaki terbabit dan penjenayah sempat melarikan gelang emas miliknya yang dianggarkan bernilai RM2,000.

“Saya tidak berupaya melawan lelaki berkenaan dan hanya meronta-ronta minta dilepaskan, sebelum membiarkan lelaki terbabit mengambil gelang tangan emas yang dipakai.

“Ketika bergelut untuk melepaskan diri, saya merayu kepada lelaki itu supaya jangan mencederakan saya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Siam, di sini, semalam.

Sapura berkata, ketika kejadian, anaknya Siti Mariam Mustafa, 68, dan anak angkatnya Abdul Rahman Awang, 69, keluar ke kedai berhampiran rumah mereka untuk membeli barangan keperluan harian.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Star, Deputi Superintendan Mohd Fiesal Libertus Abdullah mengesahkan kes berkenaan.

Beliau berkata, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment