Saturday, January 16, 2010

353 anggota Rela bantu pantau zon panas

KUALA LUMPUR: Seramai 353 anggota Rela wilayah Persekutuan yang diserapkan sebagai anggota Polis Sukarelawan (PVR) sudah bersedia bertugas di lokasi panas sekitar ibu negara untuk mengurangkan kadar jenayah jalanan.

Pengarah Rela Wilayah Persekutuan, Mohd Aminuddin Mohd Yusof, berkata mereka diberi penerangan dan latihan mencukupi bagi menjalankan tugasan membantu polis mencegah jenayah.

"Daripada 353 anggota itu, 203 sudah menamatkan latihan manakala 150 masih mengikuti kursus. Kita harap mereka dapat membantu polis membanteras jenayah dengan lebih berkesan. Mereka hanya ditempatkan di kawasan panas dengan kadar jenayah tinggi seperti Bukit Bintang," katanya di sini semalam.



Akhbar sebelum ini melaporkan kumpulan pertama 1,042 anggota Rela yang diserapkan sebagai anggota PVR akan ditempatkan di 50 lokasi panas di Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur, mulai esok.

Mohd Aminuddin berkata, sesuai dengan hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu menyerap lebih ramai anggota Rela ke dalam PVR, pihaknya juga giat menjalankan pelbagai kempen menarik lebih ramai rakyat, terutama golongan muda menganggotai pasukan itu.

"Bagi menjadikan program banteras jenayah lebih berkesan, jumlah anggota Rela yang menyertai operasi membanteras pendatang asing tanpa izin akan dikurangkan," katanya.

Sementara itu, anggota Rela, Jimmy Ho, 42, yang sudah 10 tahun berkhidmat dalam pasukan sukarelawan itu, berkata minatnya membantu masyarakat selain mencari pengalaman terutama membantu pihak berkuasa membanteras jenayah mendorongnya menyertai Rela.

"Saya berkhidmat dengan Rela separuh masa kerana bekerja di syarikat produksi video. Minat yang mendalam dalam aktiviti sukarelawan ini menjadikan saya lebih bijak membahagikan masa untuk menyertai apa juga operasi Rela," katanya.

No comments:

Post a Comment