Saturday, January 16, 2010

Ninja banteras jenayah jalanan (17/1/10)

Oleh Md Nazri Jefri
bminggu@bharian.com.my

PASUKAN Ninja dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan bersiap sedia dengan motosikal untuk menjalankan tugas.


Skuad polis motosikal lasak ronda kawasan panas Johor Bahru Selatan

JOHOR BAHRU: Keselamatan orang ramai di sekitar Johor Bahru Selatan kini lebih terjamin sejak penubuhan 'Pasukan Ninja' oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, pada Ogos tahun lalu yang bertujuan membanteras pelbagai jenayah jalanan termasuk ragut dan seluk saku.

Pasukan 16 anggota itu dibahagikan kepada dua kumpulan yang mana setiap satunya menggunakan lima motosikal dan sebuah kereta peronda bagi membuat pemantauan dan rondaan di sekitar bandaraya Johor Bahru, Taman Pelangi, Permas dan Larkin yang disifatkan sebagai kawasan panas atau 'hot spot.'



Ketua Unit pasukan itu, Cif Inspektor Mohd Saufi Mohd Kassim, berkata kedua-dua pasukan itu diketuai seorang pegawai berpangkat Cif Inspektor dan seorang sarjan serta dibantu anggota daripada lain-lain pangkat.

"Waktu bertugas anggota pasukan ini ialah dari jam 8 pagi hingga 8 pagi keesokannya. Anggotanya juga diberikan kelepasan bertugas selama 24 jam bagi setiap pasukan.

"Selepas empat bulan sejak penubuhannya memang ada penurunan kegiatan jenayah jalanan dicatatkan. Pada masa sekarang, pasukan ini bertugas di kawasan yang dianggap sebagai 'hot spot' di Johor Bahru Selatan.

"Insya-Allah jika kita dapati pasukan ini berjaya dalam misinya menurunkan kadar jenayah, PDRM mungkin akan memperluaskannya ke daerah lain di negeri ini," katanya.

Apa yang menarik, satu-satunya anggota wanita yang berkhidmat dalam pasukan itu ialah Lans Koperal Faizzatul Azma Ismail, 29, yang berazam untuk membuktikan wanita juga boleh menjalankan tugas lasak seperti anggota lelaki termasuk memerangi jenayah jalanan itu.

Mohd Saufi berkata, bagi memastikan anggota pasukan sentiasa cergas, mereka perlu menjalani latihan bagi meningkatkan kemahiran masing-masing serta sentiasa bersedia melakukan tugas pada bila-bila masa diperlukan.

"Antara usaha dilakukan termasuk menjalani latihan di Hutan Simpan Kota Tinggi dan melalui jalan ke Lukut, Semanggar yang mempunyai jalan tanah merah. Ini semua bagi menguji ketahanan fizikal dan mental anggotanya," katanya.

Mohd Saufi berkata, selain memenuhi kewajipan tugas dan berkhidmat kepada masyarakat, pasukan itu juga bertujuan membantu kerajaan memerangi kegiatan jenayah jalanan yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

"Lebih-lebih lagi selepas di bawah pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi menurunkan kadar jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang penghujung 2010," katanya.

No comments:

Post a Comment