Saturday, January 16, 2010

2 suspek kes baling bom mati ditembak (17/1/10)

Oleh Petah Wazzan Iskandar dan Mohamad Danial Mohamad Saad
bminggu@bharian.com.my

ANGGOTA polis membuat kawalan ketat di tempat dua suspek kes baling bom ditembak mati di Nibong Tebal malam tadi.


Penjenayah tak sempat lontar bahan letupan

NIBONG TEBAL: Polis menembak mati dua lelaki dipercayai suspek utama beberapa kejadian letupan bom di sekitar negeri ini di ladang kelapa sawit berhampiran kubur Cina Tasek, Sungai Bakap dekat sini, semalam.

Kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 52 tahun dan 30-an, ditembak mati dalam insiden berbalas tembak dan cubaan membaling sebiji bom tangan ke arah polis dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang.



Polis menemui sepucuk pistol dan lima butir bom tangan dalam kereta yang dinaiki suspek, termasuk sebutir bom yang sudah dicabut pin untuk dibaling ke arah polis.

Kira-kira jam 12.05 tengah malam barulah mayat kedua-dua suspek dapat dibawa keluar dari tempat duduk pemandu dan penumpang di bahagian depan, kerana polis khuatir sebutir bom yang sudah dicabut pin itu akan meletup.

Bom tersebut terjatuh ke tempat letak kaki penumpang di bahagian depan kereta itu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob, berkata kedua-dua suspek mati di tempat kejadian tetapi bom yang tercabut pin tidak meletup.

Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, Unit Pemusnah Bom dipanggil bagi meletupkan bom tangan itu.

“Berdasarkan pengecaman ke atas kedua-dua lelaki itu, mereka adalah suspek utama yang diburu berkaitan kes baling bom di Bukit Mertajam, baru-baru ini,” katanya kepada media di tempat kejadian, malam tadi.

Ayub berkata, sebelum kejadian itu, satu pasukan khas polis negeri yang dibantu anggota dari Bukit Aman mengesan suspek menaiki kereta jenis Nissan Sentra di Jalan Tasek, Sungai Bakap.

Polis mengekori kereta berkenaan sebelum disedari oleh suspek yang kemudiannya bertindak melepaskan tembakan ke arah polis.

Suspek kemudian memecut kenderaan ke arah ladang kelapa sawit sebelum melanggar pokok kelapa sawit.

“Seorang suspek kemudian cuba membaling sebutir bom tangan ke arah anggota polis setelah mencabut pin tetapi gagal kerana terkena tembakan,” katanya.

Ayub berkata, siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek berasal dari Perak tetapi melakukan jenayah di Pulau Pinang dengan memandu kereta yang menggunakan nombor pendaftaran palsu milik seorang lelaki di Perak. Suspek juga mempunyai beberapa rekod jenayah membabitkan dadah, ugut dan perjudian.

“Polis ada menerima satu laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa diugut oleh suspek melibatkan penggunaan bom,” katanya.

Rabu lalu, sebutir bom tangan meletup di pintu pagar rumah pemilik kilang besi di Taman Perkasa, Permatang Tengah, Bukit Mertajam, dipercayai bermotif ugutan.

Bom tangan itu terkena pagar besi dan meletup sehingga menyebabkan cermin belakang Perodua Myvi dan tingkap rumah dua tingkat pecah.

No comments:

Post a Comment