Tuesday, January 26, 2010

Buruh warga Indonesia maut leher disembelih (26/1/10)

Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
SUNGAI BULOH: Dendam dan masalah puak dipercayai punca seorang buruh warga Indonesia dibunuh secara kejam, dengan keadaan lehernya hampir putus disembelih menggunakan senjata tajam di sini semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Mohd Said Ali, 34, yang berasal dari Jawa Timur ditemui mati dalam kawasan semak berhampiran pintu masuk ke tapak projek kuarters guru di Bandar Sri Damansara yang juga tempat kerja mangsa.

Mayat mangsa ditemui adiknya sendiri, Tamaji Ali, 31, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi projek pembinaan itu selepas keluar mengambil pasport dan permit kerja daripada seorang rakan sejak tengah malam kelmarin.



Tamaji berkata, beliau mengesyaki sesuatu apabila mendapati kesan darah yang banyak di sepanjang laluan masuk ke tapak projek itu.

“Saya curiga sebab belum pernah melihat darah sebanyak itu. Lagipun, ada kesan seperti heretan terus ke kawasan semak berhampiran. Saya fikir mustahil ini darah bintang sebab tidak melihat apa-apa bangkai (binatang) pun di kawasan sekitar.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya mengikut kesan darah itu hingga kawasan semak berkenaan. Saya terkejut bila melihat abang saya terbaring dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah, dengan lehernya hampir putus,” katanya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata polis memburu rakan sekerja mangsa yang melarikan diri dari tapak projek sebaik pembunuhan berlaku.

“Pemeriksaan kita menemui sejumlah dokumen, termasuk pasport milik pekerja terbabit di rumah kongsi mereka. Kita percaya mereka tidak sempat membawa bersama dokumen ini ketika melarikan diri pagi tadi.

“Usaha memburu mereka sedang dibuat berdasarkan dokumen ditemui. Kita percaya mereka bersembunyi di kawasan berhampiran. Mereka dipercayai mempunyai banyak maklumat bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dengan segala kemungkinan diambil kira, termasuk masalah peribadi dan sengketa puak membabitkan penghuni rumah kongsi terbabit dari masyarakat Jawa dan Madura.

No comments:

Post a Comment