Saturday, January 16, 2010

Polis cekup Geng Dawai (17/1/10)

Oleh Irwan Shafrizan Ismail
bminggu@bharian.com.my

AHMAD Johari (kiri) menunjukkan sebahagian daripada kabel telefon yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, semalam.


Empat penagih dadah dipercayai curi kabel telefon sejak 2 tahun lalu

MARAN: Empat penagih dadah dipercayai anggota Geng Dawai dan Geng Ipin yang aktif mencuri kabel telefon sejak dua tahun lalu di sekitar Felda Jengka, di sini sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM100,000 berjaya ditahan dalam dua serbuan berasingan.

Susulan penahanan mereka, polis turut memberkas dua pemilik premis barangan lusuh di Bandar Jengka yang dipercayai membeli kabel terbabit daripada geng berkenaan.



Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin, berkata dalam serbuan pertama kira-kira jam 8.30 pagi 12 Januari lalu, polis berjaya menahan tiga lelaki disyaki anggota Geng Dawai di sebuah rumah di Felda Jengka 12.

Beliau berkata, suspek yang masing-masing berusia 23, 31 dan 37 tahun itu adalah penagih dadah dari Felda terbabit.

"Polis mengepung rumah mereka seawal jam 6 pagi sebelum berjaya menahan suspek dan merampas kira-kira 100 meter kabel telefon belum diproses dianggarkan bernilai RM520.

"Siasatan lanjut mendapati suspek terbabit dalam lapan kes curi kabel antara 25 Januari 2008 hingga 10 Januari lalu membabitkan kerugian berjumlah RM40,100. Mereka aktif mencuri kabel di sekitar Felda Jengka 11, 12, 13, 14, 15 dan 23," katanya di sini semalam.

Ahmad Johari berkata, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah rumah di Felda Jengka 21, kira-kira jam 2.30 pagi Khamis lalu sebelum polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai anggota Geng Ipin.

"Polis merampas sejumlah wayar tembaga yang sudah dibakar dari suspek. Siasatan mendapati lelaki ini bersama dua lagi rakannya yang masih bersembunyi terbabit sembilan kes curi kabel di sekitar Jengka 18, 21 dan 23 antara 11 Januari 2008 hingga 18 Disember lalu membabitkan kerugian RM61,800," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Katanya, polis kemudian menahan dua lelaki yang juga pemilik premis barang lusuh tanpa lesen berusia 24 dan 32 tahun dari Matau, Bandar Jengka antara jam 9.40 pagi hingga 10.20 pagi kelmarin yang disyaki membeli kabel telefon curi dari dua geng berkenaan.

No comments:

Post a Comment