Saturday, January 16, 2010

Pengurus bank maut ditetak (17/1/10)

SUBANG JAYA: Seorang pengurus cawangan Maybank yang baru pulang menikmati makan malam bersama isterinya di pusat beli-belah Sunway Pyramid, di sini, maut selepas ditikam dan ditetak seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di sebuah pangsapuri dekat Bandar Sunway, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Andy Teoh, 48, ditikam pada belakang badannya sebelum suspek berusia 30an menetak bahagian mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai celoret.

Mangsa yang bertugas di Damansara, diserang ketika bersama isterinya yang berusia 38 tahun sedang menunggu lif di tingkat bawah tempat letak kenderaan di Pangsapuri Lagoon Perdana.



Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata walaupun ditikam dan ditetak, mangsa yang dikejar suspek masih mampu melarikan diri kira-kira 80 meter, manakala isterinya yang tergamam mengekori mereka dari belakang dan meminta tolong.

“Melihat mangsa rebah, suspek melarikan diri dan pada masa sama tidak mencederakan isteri mangsa selain tiada barangan dilarikan. Motif pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya kepada media di tempat kejadian, awal pagi semalam.

Omar berkata, sekitar lif serta kawasan letak kenderaan di tingkat bawah pangsapuri berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan pihaknya juga sedang menyiasat bagaimana suspek boleh melepasi kawalan keselamatan premis terbabit.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa tidak mengenali suspek kerana ketika menuju ke lif sebaik keluar dari keretanya, mangsa ada melihat suspek tetapi tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan kedua-dua mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nazaruddin, berkata Teoh berkahwin lima tahun lalu tetapi tidak mempunyai anak dan sepanjang mengenalinya, mangsa seorang yang baik, fasih berbahasa Melayu serta tidak mempunyai musuh atau berdendam dengan sesiapa.

No comments:

Post a Comment