Thursday, January 28, 2010

Tiga lelaki mengamuk

Oleh SITTI NOR AZIZAH TALATA,
OPAT RATTANACHOT
dan ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 Jan 2010 – Tiga kejadian amuk, satu daripadanya mengakibatkan kematian dilaporkan berlaku di Sabah, Kedah dan ibu negara dalam tempoh tidak sampai 24 jam sejak semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di Sandakan, Sabah, seorang lelaki mengamuk dan membunuh seorang rakannya, selain mencederakan lima yang lain.

Kejadian berlaku di Ladang Suan Lamba dekat Sandakan petang semalam, dipercayai berpunca daripada perbuatan mengejek.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa berkata, suspek yang berusia 29 tahun dikatakan telah diejek oleh rakan-rakannya sebelum dia mengamuk dan menyerang mangsa.

“Suspek dipercayai menyerang beberapa orang pekerja di ladang itu menggunakan sebilah parang. Salah seorang daripada mereka maut selepas dikelar pada leher,” katanya sambil menambah, suspek ditahan polis tidak lama selepas kejadian.

Di Sik, Kedah pula, seorang suami bertindak membakar rumahnya sendiri serta lima buah kereta dan dua motosikal jirannya selepas dikatakan mengalami tekanan emosi.

Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Hujung Bandar, lelaki berusia 60 tahun tersebut turut mengamuk dengan menggunakan parang selain cuba mencederakan dua orang anak perempuannya.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana semasa kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, isterinya, Khatijah Shaari, 56, dan anak-anak pasangan itu sempat melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Supritendan Zaidong Mustafa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan menahan suspek kira-kira pukul 4.30 pagi.

“Suspek diserahkan kepada Hospital Sik sebelum dirujuk kepada Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk pemeriksaan,” katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk bertindak di luar kawalan dengan memecahkan cermin 11 buah kenderaan yang diletakkan di Jalan Medan 30, Taman Medan di sini petang ini.

Dalam kejadian pukul 3 petang itu, sembilan buah kereta, sebuah lori dan van dirosakkan lelaki terbabit.

Difahamkan, suspek datang ke rumah saudaranya yang terletak di taman itu sebelum keluar dengan memegang dua bilah parang.

Dia kemudian berjalan kaki hampir 100 meter sambil memecahkan semua kenderaan penduduk yang diletakkan di hadapan rumah mereka.

Keadaan menjadi terkawal apabila polis datang dan menahan lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment