BESUT 17 Jan 2010 - Pil kuda seberat 32 gram bernilai RM7,375 bersama wang tunai RM150 dan seguni daun ketum seberat 4.2 kilogram berjaya dirampas dalam dua serbuan oleh pasukan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.
Dalam serbuan pertama ke atas sebuah rumah di Kampung Penaga, dekat sini, kira-kira pukul 3.15 pagi semalam, dadah bersama wang tunai itu ditemui sewaktu polis menahan seorang penanam padi berumur 22 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Supritenden Noor Zainy Mohd Noor berkata, bertindak berdasarkan maklumat orang ramai, pasukan yang diketuai oleh Inspektor Rumaizur Rahman Ab Sattar itu mengepung dan menyerbu rumah berkenaan.
Katanya, hasil serbuan dan setelah diperiksa, polis berjaya menemui pil-pil kuda yang siap dibungkus untuk dijual disimpan dalam sebuah beg kecil dalam bilik rumah lelaki tersebut.
Dalam serbuan kedua di Kampung Keluang pula, seorang suri rumah yang sebelum ini pernah ditahan kerana memproses dan menjual air daun ketum sekali lagi ditahan bersama seguni daun ketum.
Bercakap pada sidang media di IPD Besut di sini hari ini, Noor Zainy berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 6.20 petang kelmarin pihaknya berjaya menemui seguni daun ketum yang belum diproses di bahagian tepi kediaman suri rumah tersebut.
Dalam kes pertama penanam padi itu ditahan di bawah Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup dan sebatan.
Suspek dalam kes kedua pula ditahan bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan akan didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun.
Tambahnya, kedua-dua suspek masing-masing kini ditahan reman selama 7 dan 3 hari bermula semalam.
Sunday, January 17, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment